Pembentangan Resolusi


RESOLUSI


MAJLIS PERMUAFAKATAN PENDIDIKAN DAERAH (MPPD) BERSAMA PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG) SEKOLAH-SEKOLAH DALAM RANCANGAN FELDA NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR 2011


Menyedari bahawa peranan PIBG yang mantap di peringkat sekolah boleh membentuk pelajar ke arah kecemerlangan sebagaimana yang diharapkan oleh negara Malaysia dalam sub-NKRAs Kementerian Pelajaran Malaysia, bahawa pembangunan modal insan yang berkualiti haruslah  bermula dengan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan watak (character education) bagi melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, jujur dan boleh dipercayai (trustworthy), bertanggungjawab, penyayang, kompeten, inovatif, kreatif serta kebolehpasaran. Justeru, peranan PIBG perlu diperkasakan ke peringkat yang lebih tinggi.

Maka, seminar yang diadakan pada 30 April  2011 bertempat di Dewan Al Falah, SMK Jengka Pusat yang dihadiri oleh 350 peserta yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Pengarah Pelajaran Pahang, Pengarah Pendidikan dan Latihan Felda, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jengka, Pengurus-pengurus Besar FELDA wilayah, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Pahang, Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Pegawai-Pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia, Pegawai-Pegawai Jabatan Pelajaran Pahang, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah, Pengurus-pengurus Besar Felda Wilayah, Pengetua-pengetua, Guru Besar, YDP dan Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG. Hasil daripada seminar permuafakatan ini, persepakatan, persefahaman dan keyakinan telah dicapai bahawa bagi membentuk generasi baru FELDA yang cemerlang, sekiranya Kementerian Pelajaran Malaysia dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA):

1.               Memperkasakan peranan PIBG melalui program latihan yang berterusan. Tempoh bagi yang memegang jawatan perlu dipinda daripada setahun kepada dua tahun.

2.               Menubuhkan Majlis Permuafakatan PIBG sekolah-sekolah FELDA  di peringkat wilayah, negeri dan kebangsaan.

3.               Memperkasakan institusi pendidikan agama di FELDA dengan penjenamaan semula Sekolah Agama Rakyat dan Kelas Agama Fardu Ain (SAR/KAFA) dengan mewujudkan jawatan guru yang berkelayakan, tetap serta kurikulum yang lebih mantap dan bersesuaian.

4.               Menyediakan prasarana yang bersesuaian dengan naluri dan jiwa generasi baru FELDA. Sebagai contoh, menyediakan trek untuk ’motorcross’.

5.               Menyediakan satu dana khas bagi Program Pendidikan Pencegahan Dadah di setiap sekolah dalam kawasan FELDA.

6.               Mengkaji semula pelaksanaan kelas Skim Tuisyen FELDA (STF) supaya bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan murid berasaskan maklumat pencapaian dan data murid di peringkat sekolah.

7.               Menyediakan dana khas untuk pemasangan CCTV di sekolah-sekolah terpilih FELDA.

8.               Mencadangkan pihak bertanggungjawab mewujudkan lesen khas motosikal kepada pelajar berumur 15 hingga 18 tahun mengikut syarat-syarat tertentu.





MAJLIS PERMUAFAKATAN
PENDIDIKAN DAERAH (MPPD)
BERSAMA PERSATUAN IBU BAPA
DAN GURU (PIBG) SEKOLAH-SEKOLAH
DALAM RANCANGAN FELDA
NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
2011                                                                                                            30 April 2011