Pembentangan 3


KERTAS KERJA 3


1)    Kolaborasi atau bekerja bersama-sama bak kata pepatah muafakat membawa berkat perlu dijadikan budaya dan amalan yang positif dalam kalangan masyarakat.

2)    Seminar permuafakatan meneroka peluang yang luas  dengan penyelesaian yang kreatif dan inovatif.untuk sama-sama memikirkan ruang permuafakatan dalam usaha memperkasakan institusi dan peranan PIBG bagi menangani isu-isu dan permasalahan pendidikan.

3)    Seminar ini harus dijadiakn titik permulaan ke arah kesedaran semua pihak untuk memperkasakan permuafakatan dan kerjasama bagi menghasilkan “World Class Performance” dan melahirkan pelajar yang berkualiti dan cemerlang.

4)    Usaha-usaha menerusi pendidikan yang berkualiti serta pengaruh suri teladan (role model)daripada kalangan guru-guru menerusi pengajaran dan orang dewasa (ibu bapa dan anggota masyarakat) perlu dizahirkan bagi melahirkan generasi pelajar yang mempunyai kekuatan intelektual dan celik minda.

5)    Pendidikan ialah untuk memberikan pengalaman kepada anak didik, membentuk sahsiah (peribadi), menstabilkan emosi, psikomotor, mengisi intelektual dan meluaskan sosial murid.

6)    Kecemerlangan akademik bermula dengan kecemerlangan watak atau peribadi. Watak atau peribadi yang cemerlang akan menjadi pemangkin dan pendorong yang positif ke arah mencapai kecemerlangan akademik.

7)    Masyarakat atau ibu bapa perlu yakin dan percaya bahawa norma dan nilai ialah “vaksin” yang paling berkesan yang menjadi penahan atau penangkis kepada pengaruh negatif yang mengancam diri para pelajar.

8)    Keyakinan masyarakat sekolah turut dipengaruhi oleh keputusan yang cemerlang yang dicapai oleh sesebuah sekolah itu.

9)    Pembentukan peribadi pelajar yang terpuji pastinya mampu membantu dalam menangani kemerosotan nilai moral dalam kalangan generasi pelajar yang diistilahkan sebagai keciciran moral. Keciciran moral mempunyai pertalian atau kolerasi dengan masalah disiplin di sekolah.




10) Tiga aspek penting yang perlu diperkukuhkan bagi membantu pelajar menjadi insan yang berkualiti dan cemerlang, iaitu (1) Keyakinan diri yang tinggi, (2) Mengamalkan tabiat-tabiat yang baik, (3) Memiliki dan mengamalkan keperibadian yang mulia.Dengan memiliki aspek-aspek ini,proses menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk dirinya akan menjadi lebih mudah dan berkesan.Mereka juga akan lebih berupaya untuk menangkis pengaruh dan gejala negatif yang ada di sekeliling.

11) Justeru,ibu bapa dan PIBG hendaklah memberikan sokongan terhadap pelaksanaan system e-disiplin pelajar yang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran yang akan digunakan oleh FELDA bagi memantau salahlaku disiplin di sekolah dalam rancangan.

12) Matlamat PIBG ialah bagi menggembleng semangat kesukarelawan ibu bapa dan penjaga, menggalak dan memberikan perangsang kepada guru dan pelajar serta melibatkan diri dalam aktiviti komuniti dan kebajikan pelajar bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah.

13) Misi PIBG adalah untuk menggalakkan komunikasi dua hala yang lebih terbuka dan saling bersefahaman di antara ibu bapa, penjaga dan guru-guru serta memberikan sumbangan dalam apa juga bentuk yang termampu bagi memajukan pendidikan pelajar.

14) Matlamat pendidikan tidak boleh dicapai oleh sekolah secara bersendirian, melainkan disokong oleh pihak lain, khususnya ibu bapa(PIBG).

15) Tanggungjawab setiap ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah menjadi ahli PIBG dan pemilik saham pendidikan yang aktif dan partisipatif demi sama-sama menjaga kepentingan industri ini. Kekuatan PIBG terletak kepada ahli-ahlinya, iaitu ibu bapa dan guru.

16) PIBG yang perkasa memiliki ciri-ciri iaitu pengurusan dan pentadbiran yang kemas dan teratur, semangat kekitaan yang kental, saling bekerjasama dan bermuafakat ke arah kebaikan, kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi, bersikap positif dan berfikiran terbuka serta komited.

17) Melalui keahlian dalam PIBG, ibu bapa boleh memberikan sumbangan modal intelektal yang berupa idea dan buah fikiran yang bernas kepada persatuan yang disertainya bagi merealisasikan matlamat sekolah.




18) PIBG yang dianggotai oleh ahli-ahlinya yang berpendidikan dan berkelayakan merupakan aset yang berharga kepada PIBG. Para ahli ini mampu memberikan sumbangan seperti mengadakan kelas dan bengkel akademik, latihan sukan dan unit beruniform secara sukarela atau apa sahaja berdasarkan kemampuan yang ada.

19) Selain daripada sumbangan terus, (direct contribution), sebagai rakan kongsi utama pendidikan, ibu bapa perlu sama-sama memahami dan menterjemahkan matlamat-matlamat pendidikan seperti yang tertera dalam FPK iaitu menekankan terhadap kecemerlangan diri pelajar yang holistik atau bersepadu bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi (towering personality).

20) Peranan ibu bapa sangat penting dan perlu berganding bahu bersama pihak sekolah dalam proses pembinaan modal insan cemerlang.

21) Permuafakatan di antara sekolah dan ibu bapa perlu diwujudkan supaya dapat meningkatkan persefahaman dua hala yang memberi manfaat kepada kemajuan sekolah.

22) Persekitaran juga merupakan faktor utama semasa mempengaruhi proses pemasyarakatan seorang insan.Role model merupakan identiti penting kepada pengalaman remaja. Masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keperluan insan akan melahirkan suasana dan persekitaran yang membawa kepada peningkatan salah laku dan jenayah.

23) Sekiranya seseorang kanak-kanak tidak mendapat sokongan dan bimbingan daripada keluarganya sudah tentu mereka mudah terjerumus ke arah perkara yang negatif dan merosakkan.

24) Ibu bapa dan masyarakat perlu menanam ke dalam diri kanak-kanak dengan sifat yakin pada diri sendiri, boleh dipercayai, hormat, rasa tanggungjawab dan tabiat-tabiat yang positif bagi membolehkan dirinya berada dalam lingkungan persekitaran yang lebih mencabar.

25) Pewujudan masyarakat penyayang (caring society) ialah tanggungjawab semua individu, masyarakat dan negara yang bermula dari rumah. Keluarga harus memainkan peranan menyemai dan menyuburkan amalan hidup yang murni yang berlandaskan agama yang menjadi pegangan. Peranan keluarga adalah amat penting untuk memupuk perasaan kasih sayang.

26) Peranan PIBG dalam melahirkan generasi FELDA yang cemerlang dan berkualiti ialah menerusi kejayaan membangun dan melaksanakan pendidikan watak secara bersungguh dan berkesan tetapi berdepan dengan pelbagai cabaran.

27) Peranan PIBG hari ini semakin mencabar kerana masalah sosial dan gejala disiplin serta pengaruh-pengaruh negatif luaran menjadi hambatan yang perlu diatasi dengan bijaksana.  Pendekatan pendidikan watak perlu dijadikan strategi yang dapat meningkatkan motivasi dalaman.

28) Kebejatan sosial yang menghantui masyarakat pada hari ini disebabkan kemerosotan dan keruntuhan akhlak.

29) Kesediaan kita untuk kembali kepada amalan falsafah “Muafakat Membawa Berkat” perlu diterapkan dalam kalangan semua lapisan.

30) Untuk melaksanakan anjakan yang positif, pertamanya semua pihak perlu bersedia melakukan perubahan “mindset”, mengambil sikap terbuka dan pendekatan “inward looking” serta bersedia untuk memperbaiki kelemahan diri, sikap dan tekad demi untuk masa depan pelajar.

31)  Kedua ialah strategi dan pendekatan ini hendaklah diperhalusi dalam mesyuarat-mesyuarat PIBG yang diadakan kerana perkara ini merupakan asas terpenting dalam usaha semua pihak untuk menangani kemelut kemerosotan disiplin dan nilai moral dalam kalangan generasi pelajar hari ini serta isu keciciran.