Pembentangan 2


KERTAS KERJA 2

  1. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menfokuskan isu melibatkan disiplin dalam kalangan murid di sekolah bagi membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

  1. Semua pihak khususnya pengurusan sekolah perlu melihat secara serius dalam kegiatan salah laku disiplin dalam kalangan murid sekolah.

  1. Sekiranya masalah disiplin dalam kalangan murid tidak ditangani segera di peringkat awal, ia boleh memberi impak negatif terhadap pengurusan sekolah, masyarakat dan Negara.

  1. Isu yang melibatkan disiplin murid di kawasan felda secara keseluruhan masih berada dalam situasi yang terkawal di mana hasil daripada pelaksanaan program dan kempen secara berterusan bersama semua pihak seperti PIBG dan pengurusan Felda, didapati jumlah murid yang terlibat dengan permasalahan disiplin telah menurun daripada 5.98% (tahun 2008) kepada 4.77% (tahun 2009).

  1. Isu disiplin ini perlu dilihat secara serius oleh semua pihak serta perlu dibanteras di peringkat awal lagi kerana implikasinya boleh membawa kepada gangguan ketenteraman kepada bukan sahaja sekolah tetapi keluarga, masyarakat dan negara.


  1. Kes-kes disiplin yang terlibat dalam permasalahan disiplin termasuklah kes-kes yang berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta kes-kes disiplin yang ringan seperti kekemasan diri.

  1. Jenis kategori salah laku yang masih perlu diberi perhatian oleh sekolah-sekolah dalam kawasan Felda adalah bagi salah laku yang Berunsur Jenayah, Kurang Sopan, Kekemasan Diri, Tidak Pentingkan Masa dan Ponteng Sekolah.

  1. KPM berpendapat bahawa masyarakat khususnya ibu bapa dan murid perlu diberi kesedaran mendalam tentang masalah disiplin ini kerana penguatkuasaan peraturan sekolah termasuk menghukum semata-mata tidak memadai. Ini disebabkan sebahagian besar punca masalah tersebut adalah datang dari latar belakang kehidupan murid sekolah.

  1. Kaedah dalam menangani isu masalah disiplin dalam kalangan murid perlu berlandaskan aspek psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja serta memerlukan kemahiran dan latihan dalam bidang tersebut. Dengan ini, peningkatan tahap profesionalisme guru sangat di beri penekanan agar mereka dapat berhadapan dengan isu sosialisasi anak didik serta masyarakat yang telah banyak mengalami perubahan.

10. KPM telah berusaha menggembleng segala kepakaran, kemahiran serta tenaga dari pelbagai pihak bagi menangani isu masalah disiplin ini. Memandangkan usaha ini perlu lebih berfokus, peranan ibu bapa menerusi PIBG serta masyarakat amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini.



11. Murid-murid yang melanggar disiplin telah dikenakan hukuman yang  keras, diberi amaran, bimbingan serta kaunseling. Antara hukuman yang paling berat adalah pembuangan daripada sekolah. Ini bertujuan untuk memberi pengajaran kepada murid yang degil dan sering melanggar peraturan yang telah ditetapkan serta ibu bapa agar memberi perhatian terhadap kelakuan murid tersebut. Walau bagaimanapun, sekolah telah memberi peluang kepada murid tersebut merayu untuk bersekolah semula.

  1. Hukuman yang telah dilaksanakan di sekolah adalah dalam konteks mendidik atau mengajar murid erti undang-undang dan pertanggungjawaban pematuhan undang-undang dan peraturan.

  1. Berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan menerusi Buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar Dan Guru, jenis-jenis hukuman yang dibenarkan oleh KPM untuk dilaksanakan di peringkat sekolah hanyalah Amaran, Denda, Penahanan (detention), Rotan, Penggantungan dan Pembuangan. Hukuman Rotan, Penggantungan dan Pembuangan hanyalah merupakan pilihan terakhir setelah semua usaha-usaha bimbingan, nasihat serta tunjuk ajar dilakukan malah ada yang memaklumkannya terlebih dahulu kepada ibu bapa murid.

  1. Guru besar/Pengetua tidak dapat melaksanakan kuasa-kuasa disiplin secara berseorangan terutama bagi sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai.



  1. Kuasa bagi mendisiplinkan murid boleh diwakilkan kepada guru-guru lain di bawahnya bagi menjalankan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada apa-apa syarat dalam hal yang difikirkan patut.Walau bagaimanapun kuasa menjalankan hukuman dera (rotan) tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar.

  1. Guru Disiplin seseorang guru itu memang menanggung risiko yang tinggi semasa menjalankan tugas mereka di sekolah. Antara risiko yang dihadapi oleh mereka adalah:

i.                    Menerima ancaman fizikal seperti diserang atau dicederakan oleh murid-murid yang tidak berpuas hati akan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap mereka.

ii.                  Ancaman terhadap harta benda mereka seperti kereta dan lain-lain.

iii.                Berkemungkinan guru-guru ini diheret ke mahkamah oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati akan tindakan yang mereka ambil dalam usaha untuk membentuk disiplin murid yang baik.

iv.                 Masa bertugas Guru Disiplin ini juga selalunya tidak menentu dan selalunya akan berlarutan sehingga selepas waktu sekolah.

v.                   Dalam waktu yang sama, Guru Disiplin juga harus menyelesaikan tugas biasanya sebagai guru seperti menyediakan bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, menanda buku murid dan menyediakan soalan-soalan untuk peperiksaan bulanan atau penggal.

vi.                 Guru Disiplin juga akan sentiasa terdedah kepada gangguan emosi.